Seperti awak mencuri calla lily, seperti itulah awak curi hati saya.
AKU? Nama aku Chinta Adara, tapi semua orang panggil aku CIK TA. Hidup aku tak berapa nak selesa selepas balik dari team building di Janda Baik. Ada orang selalu kirim calla lily dengan tagline ‘tunggu abang’. Siapa pula la yang minat kat aku? Memang pelik ni.
Tapi masa team building tu, aku memang garang habis. Yalah, ada ke patut letak aku dalam kumpulan anak dara tua? Aku muda lagi kut. Kena la dia orang dengan aku sekali.
“Eh, kau orang tak ada nama lain ke nak letak?”
“Saja suka-suka, cik. Kita nak enjoy!”
“Enjoy kepala hotak korang. Ini kes memalukan. Kali ni cawangan mana yang handle? Pakai otak ke tidak?”
“Jadi, cik nak nama kumpulan apa?”
“Fast and Furious!”
Cantik! Memang dapat pun tukar nama kumpulan. Tapi hampeh juga, sebab semuanya ahli lembik belaka.
Sebab itu ke ada orang hantar aku bunga calla lily? Aku pun perasan juga, masa team building tu ada sorang mamat ni macam minat aje kat aku, tapi masalahnya peserta team building kali ni kebanyakannya pegang status suami orang. Tak pun duda orang. Tak mau aku kalau duda. Nanti satu kampung gelak sebab aku dapat duda.
Tapi memang serius, selang sehari selepas tu aku terima calla lily. Siapakah gerangan dia?
Dah lama kejar bayang, kini abang datang, sayang.
AKU? Nama aku Cantek Safia. Muda lagi, tapi dah jadi janda. Siapa kata perkahwinan pilihan orang tua akan kekal hingga akhir hayat? Tipu semua tu.
Semua marahkan aku kerana alasan aku bercerai dengan menantu pilihan nenek sangat tidak boleh diterima akal. Hanya kerana dia lelaki sejuk beku dan aku rasa dia suami tanpa perasaan, aku tarik diri dari hidupnya. Hidup seorang Hud Khusairi.
Dua tahun pegang status janda, tiba-tiba bertemu dengan dia semula. Di tempat kerja yang sama dan lebih menyakitkan hati, dia ialah ketua aku sekarang. Entah apa mimpi dia, dia macam cuba berbaik semula dengan aku.
“Esok abang jemput Fia.”
“Tak payah. Fia pergi dengan Kak Nor. Kak Nor sebulan kena kerja kat Shah Alam.”
“Jangan menyusahkan orang, Fia.Abang kan ada.”
“Abang siapa buat Fia?”
“Bukan sesiapa, tapi abang sentiasa ada untuk Fia.”
“Abang dah hilang akal ke?”
Dan akhirnya aku tahu Hud bukan cuba berbaik dengan aku, sebaliknya lain ceritanya. Kak Mona, teman sekerja aku kata, Hud selalu akhir-akhir ini menghimpit makan sekali dengan geng kami waktu tengah hari. Dia dengan yakinnya berkata, Hud nak mengurat Annisa yang cun itu.
Huh! Buat penat aje aku perasan. Dahlah Cik Aida pun duk target lama dah Hud tu. Memang Hud Khusairi digilai di sini dan dianggap duda yang seksi dan hot. Kalau ikut menyampah, aku dah nak letak jawatan, tapi mak paksa aku bertahan pula.
Macam mana aku nak jalani hari-hari dengan menghadap bekas duda aku di tempat kerja? Lagi satu, aku kena rahsiakan hal aku ini janda Hud sebab semua orang ingat bekas isteri Hud tu jahat orangnya. Sakit hati betul!