
Hasrat seorang ibu yang terlalu inginkan anak perempuan akhirnya telah
memeterai sebuah ikatan yang tidak terduga. Kehadiran seorang wanita bergelar
isteri yang tidak pernah didamba membuatkan Nik Pasha tertekan dan benci. Dia
kemudian memutuskan untuk menyambung pelajaran di luar negara demi mengelak
tanggungjawab terhadap perkahwinan tanpa rela ini.
Enam tahun di negara asing, Nik Pasha kembali dengan membawa tekad. Tekadnya
untuk menceraikan si isteri yang tidak pernah dicintai dan dikasihi. Namun
tatkala mata singgah di raut wajah itu, jiwanya mula sangsi dan berbelah bahagi.
Perasaan mula tunggang-langgang tidak menentu. Oh Tuhan, apa yang perlu dia
lakukan?
Putaran takdir sentiasa membawa pertemuan demi pertemuan antara mereka
berdua. Nik Pasha bertugas sebagai seorang doktor, manakala Adelia pula bergelar
seorang jururawat di hospital yang sama. Tidak mampu dielak, mereka sering
bertembung muka dan berlaga pandang kerana tuntutan tugas. Pelbagai kejadian dan
insiden muncul lalu menguji rasa di dua hati yang sering menafi.
“Aku tak suka kau keluar dengan lelaki. Naik motor pula tu. Ingat! Kau tu
isteri orang.” – Nik Pasha
“Saya ni isteri orang ke, Dr Pasha? Isteri siapa, ya?” - Adelia
Jika benar rasa itu hanyalah benci, jika sungguh hati sendiri tidak pernah
berisi, mengapa aneh benar lagu yang bergetar di jiwa?
Katakan selama mana diri perlu mencari, andai bibir hanya mampu menyebut dan
menyeru satu nama...




